Trak autonomous Volvo Vera dapat tugasan pertama dalam dunia sebenar – angkut kontena jarak dekat

Tahun lalu, Volvo Trucks telah menunjukkan satu konsep trak bersendi tanpa pemandu, dipanggil sebagai Vera untuk kegunaan jarak dekat berulang. Kini, melalui satu kerjasama dengan syarikat feri dan lojistik DFDS, trak ini akan digunakan untuk tugasan pertamanya dalam dunia sebenar.

Beberapa unit Vera akan digunakan untuk mengangkut kontena barangan dari pusat lojistik ke terminal pelabuhan Gothenburg, Sweden melalui jalan yang telah ditetapkan (jarak dekat). Untuk membolehkan trak autonomous ini beroperasi dengan lancar, ia mempunyai sistem komunikasi bersepadu dan dipantau oleh manusia atas pusat kawalan.

Vera direka agar setiap trak berkenaan tahu kedudukan masing-masing bagi setiap sentimeter, dan mampu membuat analisa apa yang sedang dilakukan oleh pengguna jalan lain, kemudian memberikan tindak balas dalam ketepatan yang tinggi. Kesemua trak tersebut juga beroperasi dalam kadar kelajuan rendah (untuk kegunaan ini dihadkan pada 40 km/j) bagi memastikan keselamatan pada tahap tertinggi.

Menurut Volvo, kerjasama dengan DFDS ini dapat membantu mereka membangunkan trak autonomous yang lebih cekap, fleksibel dan mapan. Aspek teknologi, pengurusan operasi dan penerimaan infrastruktur penyelesaian pengangkutan autonomous akan dibangunkan lebih lagi sebelum dapat beroperasi penuh. Langkah waspada yang sepatutnya untuk keselamatan juga akan diambil.

“Pengangkutan autonomous dengan kadar bunyi yang rendah dan sifar emisi mempunyai peranan penting dalam masa hadapan lojistik, dan ia akan memberikan manfaat kepada perniagaan dan masyarakat. Kami lihat kerjasama ini sebagai satu permulaan penting dan ingin memajukannya lebih ke hadapan lagi,” kata CEO DFDS, Torben Carlsen.

Source: Read Full Article