Maxus T60 dibuka tempahan di M'sia – RM99k untuk spesifikasi tertinggi 2.8L AT, kumpulan pertama CBU

Weststar Maxus telah mengumumkan trak pikap Maxus T60 telah pun berada di Malaysia dan tempahannya juga sudah dibuka. Walau pada mulanya dikhabarkan model ini sepatutnya tiba di Malaysia pada hujung 2018, apa pun, biar terlambat, asalkan ia tetap tiba dengan selamat. Tak gitu?

Maxus T60 untuk pasaran kita ditawarkan dengan dua varian; manual dan spesifikasi tertinggi auto. Untuk varian spesifikasi tertinggi, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM99,000 tanpa insurans, dengan beberapa ciri tambahan yang ditampilkan. Manakala untuk varian manual pula hanya beberapa ribu lebih rendah.

Kami juga difahamkan pelancaran T60 bakal dilakukan dalam dua ke tiga bulan lagi, dan ia merupakan model CBU yang akan dibawa masuk dari China. Pemasangan tempatannya akan berlangsung tidak lama lagi di Johor yang dijangka dimulakan pada suku ke-empat 2019.

Maxus T60 diperkenalkan di Guangzhou Motor Show pada hujung 2016 sebagai trak pikap pertama dari SAIC Motor, yang dibangunkan mengikut standard antarabangsa, seperti mana yang didakwa oleh syarikat berkenaan. Di bawah jenama legasi LDV, T60 dilancarkan di Australis pada September 2017, dan menerima penarafan lima-bintang dalam ujian ANCAP, jadi keselamatannya terjamin.

Australia yang merupakan pasaran besar bagi pikap sebegini, merupakan pasaran pertama bagi pemanduan sebelah-kanan yang menerima T60, yang turut dijual di New Zealand dalam format yang sama. Kami dimaklumkan T60 yang bakal tiba di negara kita akan 95% sama dengan foto yang dilihat, cuma Weststar Maxus mungkin mahu memadankan dengan roda yang lebih besar daripada saiz 17-inci.

T60 dijanakan oleh enjin VM Motori 2.8 liter empat-silinder turbodiesel yang mampu memberikan kuasa 150 hp dan tork 360 Nm dari 1,600 hingga 2,800 rpm. Penjana kuasa R428 DOHC dengan VGT ini dipadankan bersama kotak gear manual dan automatik (yang ujuga ada mod manual) enam-kelajuan. Mod pemanduan Normal, Eco dan Power juga ditampilkan, dengan pacuan 4WD yang boleh disambungkan menerusi rotary 2H-4H-4L dial.

Perincian lain bagi spesifikasi ini tidak jauh beza dengan trak lain, termasuk suspensi double wishbone di hadapan, gegelung spring di belakang, stereng berkuasa hidraulik, cakera brek ventilated hadapan/belakang dan ladder frame.

T60 juga dilengkapi dengan ABS, ESP dan enam beg udara yang menyumbang pada penarafan lima-bintang dari ANCAP. Selain itu, ia ditampilkan juga dengan skrin sesentuh berwarna 10-inci yang turut disambung pada kamera undur dan kamera parkir 360-darjah. Ciri lain termasuklah lampu utama LED auto, lampu nyalaan siang LED, kemasukan tanpa kunci dengan butang push start, tempat duduk pemandu larasan kuasa, pendingin hawa auto, corong AC belakang, sport bar dan banyak lagi.

Bagi versi manual, ia tidak didatangkan dengan lampu utama dan lampu nyalaan siang LED; krom pada gril, perumah cermin sisi dan pemegang pintu; tempat duduk balutan kulit dan kemasukan tanpa kunci dengan butang push start.

Source: Read Full Article