Honda X-Adv 150 – gambar adik kecil skuter adventure 750 cc bocor sebelum penampilan pertama di GIIAS

Hari ini, Gaiikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) membuka tirainya kepada orang ramai. Satu model motosikal baru yang dikhabarkan bakal diperkenalkan di sana adalah Honda X-Adv 150. Kami sendiri tidak pasti jam berapa majlisnya akan berlangsung dan masih menunggu maklum balas daripada wakil yang berada di sana.

Walaubagaimanapun, gambar awal motosikal ini sudah pun tersebar dalam internet dan kami jumpanya melalui Otomotifnet. Daripada laporan mereka, yang bocor sebenarnya adalah video dan gambar ini sebenarnya adalah screenshot daripada video tersebut.

Seperti ramai yang mungkin sudah tahu, X-Adv muncul kali pertama pada tahun 2016 sebagai sebuah skuter adventure yang dikuasakan oleh enjin dua silinder 745 cc bersama padanan transmisi automatik klac berkembar enam kelajuan DCT. Konsep kembaranya disampaikan melalui penggunaan barangan seperti penghadang tangan, pelindung bahagian depan enjin dan rim jenis spoked.

X-Adv yang akan muncul di GIIAS ini pula adalah ‘adik’ kepada model asal, dengan enjin serta badan yang lebih kecil, tetapi konsep gaya rekaan masih lagi sama. Tiada perincian yang diketahui setakat ini, sehinggakan enjinnya juga dijangka dalam dua kapasiti, sama ada 150 cc ataupun 250 cc.

Jika 150 cc, pastinya X-Adv ini akan memberi saingan sengit kepada model sedia ada dalam segmen itu seperti Yamaha Aerox (NVX 155) ataupun N-Max. Bergantung kepada harganya, skuter ini dilihat mempunyai potensi untuk menawan pengguna kerana kelengkapan yang boleh dilihat daripada gambar ini kiranya agak menarik.

Source: Read Full Article