Semalam, pasukan Red Bull KTM Tech3 mengeluarkan pengumuman mengejutkan dengan mengambil Brad Binder sebagai pengganti kepada pelumba negara, Hafizh Syahrin dalam kelas MotoGP untuk tahun 2020. Ramai yang masih tertanya bagaimana nasib Hafizh selepas ini, dan setakat ini masih belum ada kenyataan rasmi dari pihak beliau.
Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Berita Harian, ketua pegawai eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali menasihatkan peminat sukan dua roda supaya kekal tenang kerana beliau yakin Hafizh masih akan kekal beraksi di pentas kejuaraan dunia.
“Dalam musim panas ini, ia adalah satu tempoh yang menyaksikan adanya pelumba masuk dan keluar daripada pasukan untuk 2020 dan saya yakin Hafizh akan kekal dalam Kejuaraan Motosikal Dunia tetapi sama ada dia kekal dalam kelas perdana, itu mungkin tampak sukar kerana buat masa ini tiada tempat kosong.
“Bagaimanapun, masih ada beberapa peluang dan tawaran untuk Hafizh ke Moto2. Saya pasti Hafizh akan membuat keputusan tepat berdasarkan keadaan ketika ini dan kami di SIC akan melakukan yang terbaik untuk membantunya,” kata Razlan kepada Berita Harian.
Hafizh mula melangkah masuk ke kategori MotoGP pada tahun 2018 bersama pasukan Tech3, dan berlumba menggunakan jentera Yamaha YZR-M1. Walaupun begitu, pada musim 2019, Tech3 telah beralih kepada jentera KTM RC16 dan prestasi Hafizh dilihat semakin merudum. Dengan baki 10 pusingan lagi bagi musim ini, Hafizh cuma berjaya mengutip tiga mata dan berada di kedudukan ke-25 daripada 26 pelumba dalam kategori MotoGP.
Related Cars for Sale on
Source: Read Full Article