Ferrari SF90 Stradale PHEV berkuasa hampir 1,000 PS

Ferrari telah mendedahkan supercar terbaru mereka yang dinamakan sebagai SF90 Stradale. Istimewanya, ini adalah model plug-in hybrid produksi pertama dari pengeluar Itali tersebut dan ia menggunakan gabungan enjin V8 turbo serta dua motor elektrik – dua pada gandar hadapan dan satu lagi di belakang.

Enjin pembakaran dalaman itu sendiri masih adalah unit F154 sama seperti yang digunakan pada Pista dan F8 Tributo, tetapi telah dinaik taraf pada banyak bahagian dan kapasitinya meningkat 88 cc lagi menjadi 3,990 cc. Hasilnya, ia mampu mengeluarkan 780 PS dan 800 Nm tork pada 6,00 rpm.

Tiga motor elektrik itu pula mampu memberikan tambahan kuasa 220 PS (162 kW), dan ia datang daripada pek bateri 7.9 kWh yang terletak di belakang tempat duduk. Melalui sistem hibrid ini, pemandu boleh menggunakan kuasa elektrik sahaja untuk menggerakkan kenderaan (pacuan roda hadapan sahaja) dan ia boleh pergi sehingga 25 km dan kelajuan maksimum 135 km/j.

Waktu mengecas kenderaan ini masih belum didedah secara terperinci tetapi pengarah teknikal Ferrari, Michael Leiters ada memberitahu apabila menggunakan soket kuasa, bateri tersebut boleh penuh dalam masa tiga jam. Sistem hibrid ini juga menambah berat 270 kg pada kereta, tetapi hasil daripada penggunaan bahan serba ringan, berat kenderaan masih dapat dijadikan rendah, iaitu cuma 1,570 kg.

Kotak gear juga adalah baru, yang merupakan unit klac berkembar lapan kelajuan. Selain nisbah gear serta maklum balas lebih pantas, ia juga menggunakan set klac yang lebih kompak dan 10 kg lebih ringan (tiga kilogram daripadanya adalah disebabkan tiada lagi gear undur, dengan tugas itu diambil oleh motor elektrik).

Ada empat mod pemanduan pada kereta ini iaitu eDrive untuk elektrik penuh, Hybrid untuk mod standard yang akan memilih tetapan mengikut kesesuaian keadaan, Performance yang memberi lebih keutamaan untuk mengecas bateri berbanding penggunaan bahan api dan Qualify untuk prestasi yang paling tinggi.

Banyak lagi inovasi serta perkara baru bagi Ferrari pada kereta ini. Antaranya adalah pacuan empat roda, yang dikatakan perlu baginya. Ia boleh mencatat masa 2.5 saat untuk pecutan 0-100 km/j, 6.7 saat untuk 0-200 km/j dan kelajuan maksimum 340 km/j. Ini adalah lebih laju daripada LaFerrari.

Pada bahagian elektronik, kereta ini mempunyai sistem Electronic Side Slip Control (eSSC), torque vectoring, Electric Traction Control (eTC) dan rotation axis control – electric (RAC-e), semuanya untuk membantu dinamik kenderaan dan mendapatkan cengkaman yang lebih baik.

Brek juga adalah baru di mana ia menggabungkan sistem elektrik dan hidraulik. Dalam keadaan brek biasa, elektrik digunakan untuk menyokong sistem penjanaan semula kuasa dan apabila membrek kuat, sistem hidraulik akan membantu untuk memberikan lebih kuasa henti.



SF90 menggunakan rekaan baru, yang seperti kebiasaan bagi Ferrari, mendapat banyak inspirasi daripada kereta lumba F1 termasuk bahagian-bahagian aerodinamik aktif yang boleh berubah bergantung kepada keadaan kereta dan kelajuan demi membantu cengkaman.

Sama juga dengan bahagian dalam. Keseluruhannya adalah baru, dengan yang menjadi perhatian adalah panel instrumen digital definisi tinggi 16 inci (pertama dalam dunia), stereng yang penuh dengan pelbagai butang kawalan serta tombol gear yang mengambil inspirasi daripada model lama Ferrari.

Selain daripada model standard, SF90 juga akan ditawarkan dengan versi yang lebih sporty dipanggil sebagai Assetto Fiorano. Antara peningkatan pada model ini adalah termasuk penyerap hentak Multimatic (dibangunkan daripada dunia lumba GT), berat kurang 30 kg, spring dan ekzos titanium, daya tolak ke bawah (downforce) 390 kg pada 250 km/j dan tayar Michelin Pilot Sport Cup2. Dalam keadaan standard SF90 datang dengan rim 20 inci (tayar 255/35 di depan dan 315/30 di belakang).

Harga SF90 ini masih belum didedahkan tetapi ia akan berada lebih mahal berbanding Superfast, tetapi masih di bawah LaFerrari generasi seterusnya. Walaubagaimanapun, kami rasa itu tidak akan mengganggu bakal pembeli model seperti ini.

Source: Read Full Article