Albert Biermann jelaskan kenapa Hyundai i30 N tidak diberikan brek Brembo dan tempat duduk Recaro

Kereta-kereta hot-hatch sememangnya direka dengan imej ‘budak nakal’, dan model-model sedemikian bukan sahaja hadir dengan enjin kecil tetapi berkuasa, malah selalunya diberikan kelengkapan-kelengkapan fancy dari jenama-jenama yang sering dikaitkan dengan dunia perlumbaan.

Honda Civic Type R FK8 misalnya menerima set brek Brembo yang jelas kelihatan disebalik rim 20-inci, pemandu dan penumpang hadapan Ford Focus ST pula ‘dipeluk’ erat oleh tempat duduk Recaro, manakala Renault Megane RS diberikan kedua-dua ciri tersebut. Tetapi saingan segmen ini dari Korea, Hyundai i30 N tidak menerima sebarang kelengkapan sedemikian. Mengapa?

Menurut ketua pembangunan kumpulan Hyundai dan juga individu yang bertanggungjawab mengetuai projek pembangunan i30 N, Albert Biermann dalam laporan Road&Track, i30 N direka sebagai sebuah hatchback ‘serigala berbulu biri-biri’ yang disasarkan untuk golongan muda, dan biasanya ia adalah kereta harian, bukan sebagai kereta ketiga atau keempat yang hanya digunakan di hujung minggu.

Jadi adalah menjadi tugas divisi N Hyundai untuk bersifat rasional untuk menghasilkan sebuah kereta yang tidak terlalu mahal dengan tidak hadir bersama kelengkapan-kelengkapan fancy seperti brek Brembo dan tempat duduk Recaro. Dengan itu, golongan muda boleh membeli sebuah kereta laju dan seronok yang lebih murah berbanding jenama-jenama lain.



Ketika i30 N sedang dibangunkan, Biermann pernah memberitahu kereta tersebut hanya menggunakan sistem brek sedia ada dari Hyundai dan menalanya untuk mendapatkan prestasi yang sporty. “Ia bukan sistem brek yang sofistikted seperti yang anda bayangkan dari sebuah hatchback berprestasi tinggi, sebaliknya, kami menggunakan sistem sedia ada dan mengubahsuainya untuk mendapatkan feel brek, manakala brek pad berlainan pula digunakan untuk memadankan karekter kereta ini,” jelas Biermann.

Hyundai i30 N dijana oleh enjin 2.0 liter empat silinder dengan sistem suntikan bahan api terus dan juga pengecas turbo, menghasilkan 275 PS/353 Nm dengan Performance Package. Ia digandingkan dengan kotak gear manual enam kelajuan lengkap dengan LSD elektronik dan hanya memacu roda hadapan. Padanan ini membolehkan hot-hatch tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

Dengan harga yang begitu kompetitif, Hyundai i30 N mendapat sambutan yang menggalakkan dalam pasaran. Ketika ia mula dijual di Jerman dua tahun lalu, model edisi terhad First Edition yang hanya dihasilkan sebanyak 100 unit habis dalam masa hanya dua hari.

Source: Read Full Article